October 12, 2013

Khusyuk.

Cikgu suruh buat karangan cerpen.
Tapi itulah, khusyuk sangat mengarang.
Dari cerpen, jadi luahan.

Nah, jemput baca.

    Sedang aku leka meneliti setiap foto di dalam album keluarga, mataku terhenti pada satu foto. Foto yang amat bermakna, insan yang paling aku cintai, wanita paling istimewa iaitu foto arwah Ibu ku. Ya, dialah orang yang paling istimewa bagi aku, tetapi dia juga insan yang telah aku derhakai sewaktu nafasnya masih dihembus, jantungnya masih derdegup, dan sewaktu mulutnya masih mampu berkata-kata.

     Lagu berjudul 'Mama' yang dibawa oleh sekumpulan wanita Inggeris dimainkan. Lantas mindaku kembali mengingatkan aku akan setiap kesalahan yang telah aku lakukan dahulu pada Ibu. Benar. Aku seringkali melawan kata-katanya.

Arahannya, aku ingkar.
Permintaannya, aku endah.
Hatinya, aku sakiti.

     Sewaktu Ibu menghembuskan nafas terakhirnya, aku benar-benar terasa akan kehilangan. Mula dari situ, baru aku sedar akan betapa besar ertinya seorang ibu. Jujur, aku menyesal akan setiap ingkaran yang aku lakukan. Pernah sekali Ibu berpesan, jangan sesekali mengingkari kata kata orang tua. Masih aku ingat setiap nasihat dan kata-katanya. Tetapi apakan daya, kini Ibu telah pergi buat selamanya.

Ibu,

tugas malaikat maut sudah selesai. Nyawamu telah diambil. Aku tidak mampu berbuat apa. Cara pemergianmu, penuh seksa. Alangkah bagus jika masa dapat diputarkan dan aku diberi kesempatan untuk menyelamatkanmu, Ibu. Tetapi aku sedar, aku hanya seorang insan biasa. Aku tidak mampu mengubah ketentuan Allah S.W.T. Mati itu pasti. Ianya tepat, dan tidak pernah lambat atau cepat walau sesaat. Itulah kuasa Allah.

Ibu,

jika rasa kesedaran ini muncul waktu kau masih di sini, aku janji. Aku janji aku akan menjagamu. Tidak akan aku ingkar setiap arahanmu. Tidak akan aku sakitkan hatimu. Ibu, maafkan aku. Benar, aku selalu mendahulukan perkara lain sebelum mu, selain beribadat.

     Sewaktu engkau di sisi, lengkap dan sempurna hidupku. Kehilanganmu bagai dihiris dengan sembilu. Sedih dan pilu hati ini. Tidak pernah aku sangka aku akan kehilanganmu sewaktu umurku seawal 13 tahun. Semuanya berlaku begitu pantas, bagaikan mimpi.

Sekarang, aku seringkali berasa cemburu akan rakan-rakanku. Mereka masih punya Ibu. Walaupun kini engkau sudah diganti, namun, raut wajahmu, riang tawamu dan manis senyummu akan sentiasa kekal dalam hati ini. Engkau tiada pengganti. Engkau akan sentiasa mempunyai tempat di hatiku walau kau tak disini lagi, Ibu. Kini, aku terima pemergianmu. Semoga engkau tenang di sana dan semoga segala dosa dosamu diampunkan.

Aku redha.

Arisa Khalid